Wednesday, December 31, 2008

lewat 13 malam...

Lewat malam-malam dalam hidup, dari daun-daun yang gugur bersama setiap kenangan...

Malam pertama, dia mengenali mereka tanpa menyangka satu masa mereka akan menjadi teman-teman yang menyerikan hidupnya. Malam itu dia masih malu untuk bercerita sakan. Masih banyak yang cuba disembunyikan. terlalu takut tidak diterima.

Malam kedua, dia semakin mengenali teman-temannya. Dan hatinya mula kasih terhadap mereka.

Malam ketiga, mereka semakin rapat. Mula berbicara tentang harapan, tentang impian. tentang persahabatan sepanjang hayat.

Malam keempat, masih juga berkumpul bersama teman-teman, dengan buku dan pensil mencatatkan setiap impian yang diharapkan.

Malam kelima, teman-teman masih ada, cuma dia ditelan kesibukan. Dia hilang tanpa bicara. Teman-teman tertanya-tanya tapi dia tetap sepi.

Malam keenam, masih juga seperti malam sebelumnya, masih juga tiada hanya yang teman-teman setia.

Malam ketujuh, dia masih hilang... teman-teman mula bimbang...

Malam kelapan, dia muncul kembali, teman-teman gembira. mereka sambung bercerita dan berjenaka. tiada sekali pun teman-teman mempersoalkan kehilangannya tanpa bicara, cuma hatinya kurang selesa kerna terlalu lama menyepi.

Malam kesembilan, teman-teman tetap seperti biasa... dia masih tidak dapat memaafkan dirinya...

Malam kesepuluh, akhirnya dia mengetahui teman-temannya tidak pernah menyalahkannya. hatinya kembali tenang dan dia kembali ceria...

Malam kelmarin dia bersama teman-teman menceritakan tentang masa depan, melakar setiap perasaan yang bermain dengan warna-warna indah.

Malam semalam, dia masih juga bersama teman-teman, masih bercerita dan berjenaka. Tawa yang tak pernah usai dengan segala cerita perjalanan hidup. Masih jenaka anak-anak kecil yang baru mengenal dunia. Impian lama bertukar menjadi impian baru. Hatinya gembira, senyumnya manis.

Malam ini hanya tinggal seorang teman. Semuanya punya urusan. tapi dia masih ada satu teman. Dia tetap bercerita dan berjenaka biarpun hanya tinggal berdua. Dalam diam dia merenung wajah si teman dan hatinya tertanya-tanya "adakah malam esok kau tetap akan ada disini seperti selalu atau kau juga akan jadi seperti mereka?. Maaf atas malam-malam sepi ku" Dan dalam diam juga dia menerima hakikat mungkin malam ini malam terakhir untuk bercerita hingga lewat. Dia tahu malam esok, dia akan keseorangan, tanpa teman-teman... yang ada hanya doa dan harapan; moga satu masa dia dapat bersama teman-teman semula bercerita dan berjenaka... tak perlu lama cukup sekadar seminit dua, kerna dalam hatinya mereka sentiasa ada...

Malam sampai ke hujungnya... selamat malam teman, tidur lah dengan nyenyak...

sembang kasi orang bimbang...


kadang-kadang bila duduk bersembang dengan orang yang cakap nak menang buat aku selalu terfikir; "adakah aku macam dia ni?" dan selalunya aku akan tekun memerhatikan manusia macam ni. seronok melayan. tapi memang orang macam ni ramai yang suka melayan tapi kt belakang macam-macam cerita yang kaluar. itu pun satu jenis manusia lagi. talam dua muka. dalam perhubungan aku selalu percaya kepada satu perkara "treat others the way you want to be treated" dan dikeranakan pedoman yang aku pegang dalam persahabatan inilah aku takkan heran kalau orang yang aku layan buruk melayan aku macam sampah sebab memang aku sendiri yang tempah benda tu. tapi kalau orang yang aku lain baik buat aku macam kain buruk, maka amukan tenaga langit ketujuh mungkin akan terjadi.

berbalik kepada cerita manusia "sembang kasi orang bimbang asyik nak menang" tadi ni, aku perasan diorang ni ada juga yang menjaga hati orang bila bercakap. dia akan cakap yang bagus-bagus dulu lepas tu akan keluar "tapi...". banyak betul idea dia untuk mengkritik. orang macam ni kalau jadi pengkritik AF bagus aku rasa. bila tang dia banyak jugalah kehebatan yang keluar dari mulut dia dan di"sedap-rasa"kan apa imiginasi dia tentang kehebatan yang dia akan buat. tapi kadang-kadang banyak benda yang hanya boleh bermain di kepala saja susah nak dipraktikkan. macam orang nak berenti merokok kalau setakat ingat-ingat je tapi tak buat sampai mati pun tak boleh nak berenti. iya dak?!?!

mungkin orang selalu merasa tak selesa kalau aku tenung-tenung tapi ada orang pernah cakap dengan aku "nak jadi pelakon yang bagus ko kena belajar perhatikan manusia lain dan cuba baca apa yang dia sedang fikirkan. dalam erti kata lain cuba letakkan diri ko di tempat orang tu." dan aku selalu praktikkan. memang seronok cuba menyelami orang lain. ada masa rasa macam boleh buat dialog apa yang bermain di firkiran dia. dan tentulah dialog itu hanya rekaan otak aku semata-mata. selepas beberapa lama mempraktikkan benda ni selalu jugak lah sangkaan aku betul. walaupun diorg menidakkannya tapi satu hari diorang-diorang ni akan mengaku dengan aku.

macam orang yang cakap nak menang ni, selalunya dia rasa "insecure" dan takut orang tak nampak atau tak mengakui kehebatan dia, jadi jalan penyelesaiannya terpaksalah pukul canang sendiri... kesian kan....

Sunday, December 28, 2008

1429 ke 1430





jauh jauh semakin jauh kau tinggalkan cahaya terang semakin tenggelam dalam suram
~iryanda mulia
stefani

Wednesday, December 24, 2008

hari terakhir untuk 14 hari...




Mungkin kita telah marasakan mimpi burtukar menjadi begitu ngeri dan menyedari realiti lebih indah. Lalu memaksa diri untuk tidak bermimpi lagi. Tapi mereka yang kuat, mereka yang tegar berpegang pada mimpi dan ketemu mimpi yang tak pernah diimpikan. Lalu bangun dan terus bangun lantas sedar dalam hidup mimpi yang sebenarnya adalah untuk terus bisa bermimpi...

Dan yang lebih hebat, luka yang terlalu pedih dan luka-luka lama yang sepatutnya sudah menghilang sebenarnya masih bersisa. Mungkin luka itu mengajar kita, mengingatkan kita tentang suatu masa yang telah pun kita harungi dengan tabah dan bagaimana untuk menghadapi masa depan. Itu apa yang kita mahukan, kita harapkan tapi kenyataan tidak semudah itu. Kadang-kala kita terpaksa belajar benda yang sama berulang kali kerna kita manusia yang mudah lupa...

Tuesday, December 23, 2008

cinta yang seni...

kerasukan apa
yang membuatku terus-terusan
dalam dahaga yang panjang
gila yang tak putus
inikah aku
yang tak bisa hidup tanpanya
kebahagian
atau kepedihan

sesekali aku ingin hilang
dalam hitam pekat
tanpa kata
tanpa suara
tanpa cahaya
tanpa rasa
dimana jiwaku damai

namun aku tetap aku; masih disini;
melihat apa yang aku rasa dalam cahaya yang aku pilih

Friday, December 19, 2008

3 titis airmata


akhirnya dia tahu... segalanya sudah hilang. yang ada hanya kenangan diantara masa-masa yang telah pergi... diantara senyum tawa dan tangis duka.. diantara merah dan biru... diantara malam-malam yang penuh kehangatan yang siangnya bagai orang asing...

dengan bekas-bekas tapak kasut yang berlalu longlai dia tahu yang suatu masa akan tiba saat dia terpaksa mengakui dalam rasa yang penuh cinta sebenarnya dia terlalu benci. terlalu banyak suara tersekat... terlalu banyak jeritan dan tangisan yang tak dilepaskan.

sekarang yang ada hanya tiga titis airmata

satu; untuk semalam yang tak mungkin kembali, menangguhkan hidup demi sebuah rasa yang penuh kepura-puraan. dalam keterpaksaan... penuh kesengsaraan yang tertahan

dua; akibat terlalu penat. terlalu banyak yang dilakukan untuk memiliki dan sesudah memiliki dia sudah tidak punya apa selain lelah yang terlalu panjang....

tiga; demi untuk merelakan... separuh sedar ke alam mimpi dia berdoa untuk tenang... kembali tenang...

Thursday, December 18, 2008

satu...

satu itu sepi
satu terlalu sunyi
tiada suara tiada gema
hanya ada satu

satu itu luka
satu terlalu pedih
tiada kami tiada kita
hanya tinggal satu

satu itu indah
satu memenuhi cinta
tiada mereka tiada lain
hanya untuk satu

satu itu dekat
satu tak pernah menjauh
tidak pernah hilang tiada dinafikan
hanya akan menyatu

satu itu aku
satu itu dia
segalanya demi satu
hanya satu...

Wednesday, December 17, 2008

masuk asap

menjengah ke dalam peti pos yang kosong... lama jugak duduk termenung menghadap habuk yang bersalut dalam peti pos tu. hmmm dah masuk bulan ketiga, jangan kata duit, cek tendang pun tak dibaginye... sampai bila le nak menghadap peti kosong ni... masa nak barang punya ler laju. pagi pagi dah suruh bertandang ke ofis deme. bila tang bayor buat dek jer... macam ni ke berniaga... bak kate orang tua "tak diumpamakan nye kite..." mengelatak dada ei.....

Monday, December 15, 2008

7 hari lagi...

masih juga pening... yang tinggal tempurung yang kosong, kemana hilangnya???

dulu masa di kampus teorinya adalah
"bila wayar terlalu berselirat maka kebarangkalian untuk short circuit terlalu kuat"

sekarang
"bila umur dah meningkat, ternyata otak makin berkarat"


duduk mengadap skrin sambil tangan mengutil kuku... buruk sekali... sampai berdarah pun otak masih tak terperah... sengsara bila tak ada idea... aku perlukan inspirasi... mungkinkah...

sudah terlalu lama rasanya sekadar berjumpa dan ber'hai-hai' saja.
sudah lama tiada...
malam-malam yang rancak
gelak tawa yang panjang
petikan gitar yang syahdu
hmmm rindu...

ketika inilah segala maki dihadiah khas untuk diri sendiri yang terlalu emosi. cukup-cukuplah berlari...

1 lagi sebab untuk jatuh cinta

semalam pergi menonton teater omputih dengan dengan d'otai's; Rumor by Cinzia Ciaramicoli

masuk je dalam Stor DBP pelakon sudah berada di atas pentas menyambut dengan senyuman. sebaik sahaja panggung penuh pelakon memulakan lakonan. sepanjang pementasan aku duduk dengan khusyuk. satu cuba untuk memahami ayat-ayat yang dilontarkan dan yang kedua aku menanti. sehingga ke akhir pementasan aku masih menanti sehingga tidak sedar yang pementasan telah berakhir. sedikit hampa kerana penantian ku ternyata sia-sia...

keseluruhan banyak pergerakan si pelakon yang aku suka tetapi dari segi lakonan aku masih mengharapkan sesuatu yang outstanding. walaupun transasi watak jelas tetapi terlalu selamat corak lakonannya sehinggakan aku tak merasakan gejolak dan gelora si pelakon. perasaan yang terlalu kosong. aku sendiri kurang pasti, mungkin juga ini yang diinginkan oleh pengarah dan pelakon.

atau mungkinkah kerana aku melayu yang terlalu suka bermain dengan emosi? mungkin juga aku terlalu biasa dengan pementasan-pementasan melayu yang penuh dengan gejolak dan gelora.

tetapi aku rasa disinilah uniknya teater melayu yang berinteraksi dengan penonton melalui rasa hati dan tidak mekanikal. sehingga penonton dapat merasakan mereka diletakkan di situasi yang digambarkan dan seterusnya menyelami watak itu sendiri. bahkan penonton dapat mengaitkan diri mereka dengan watak.

mungkin ada yang mengatakan aku terlalu skeptikal. ini hanya pandangan aku dari sudut kacamata aku yang tiada apa-apa. yang pasti aku telah temui lagi satu sebab untuk terus jatuh cinta dengan teater melayu...

Thursday, December 11, 2008

yang tinggal

bila berada dalam ketidakberadaan yang tinggal hanya harga diri...

aku belajar
bila menjadi manusia yang tidak punya, yang ada hanyalah harga diri. wang merupakan ciptaan manusia yang amat jahat. kerana wang manusia mengadaikan apa saja dan mendapat tempat yang mulia sesama mereka. bagi yang tidak ada, berpeganglah kalian kepada keikhlasan dalam melakukan apa saja.

kerana tidak ada apa-apa, kita masih disini dengan karya yang ikhlas dan jujur. kerna yang kita ada hanyalah sebuah karya untuk dipersembahkan. syukur...

Tuesday, December 9, 2008

tangan sejuk

Beraya di rumah Mak Su macam-macam cerita keluar. Satu demi satu sejarah dibuka lipatannya. Dari memancing ke gulai rasum ke kiwi kasut ke Kak Jam sampailah ke arwah... Saat sampai ke cerita arwah aku hanya duduk diam mendengar dan membatu diri.

Dari ketika dia jatuh sakit seingat aku, hanya beberapa kali aku melawat arwah. Pernah sekali aku melawat arwah ketika dia sudah terbaring. Dia hanya memandang dengan senyuman tanpa kata cuma suara yang tak dengar biji butirnya. Aku singgah sebentar dan balik pada malam yang sama. Cukup sekadar memberinya sebuah senyuman dan kucupan di dahinya lalu aku beredar.

Tak lama akhirnya dia pergi. Sememangnya sudah ku duga. Cuma bila ibu memberitahu dia ada menyebut namaku aku terdiam. Terasa kejam. Aku telan dalam diam rasa itu dan membela diri sendiri dengan alasan tugasan yang tak pernah selesai.

Kali ini bila cerita dibuka kembali, aku masih juga senyum. Seakan terdengar suaranya memanggil dalam pekat malam. Terbayang riak wajah uzurnya. Terlalu banyak kenangan ia bagaikan sebuah lukisan yang panjang. Terlukis satu-satu, jelas. Cuma penghujung lukisannya kosong. Tiada sepalit warna pun. Kerna saat dia habis aku tiada. Aku entah dimana berkeliaran mengikut adat dunia.

Ceritanya tetap sama dia masih memanggil namaku. Cuma aku yang entah dimana. Ku bertanya diri, dimana aku pada malam itu? dimana aku ketika dia menyebut namaku? tanganku tiba-tiba sejuk... hati berdegup laju...

Sunday, December 7, 2008

14 hari lagi...

2008
"...jauh sudah perjalanan, tumit sepatu makin haus, tetapi apa yang telah ku kutip, hanya habuk dan debu sepanjang hidupku" ~baha zain

14 hari lagi... 

2009
"...rapatkan pintu, masuklah ke kamarku mari kita bercinta. aku tak memerlukan kata hanya suara dari gema sukma yang memendam rahasia dan rindu dendam" ~ baha zain

Saturday, December 6, 2008

aku mahu menjadi pohon...

aku cuba menjadi pohon yang rendang berbuah lebat, walau dilontar batu aku cuba sedaya mungkin untuk membalas dengan buah.

demi kepercayaan, cinta & rasa hormat aku cuba untuk berbicara jujur


semoga suatua masa aku menjadi pohon yang tebang dan digunakan....

Monday, December 1, 2008

bertanya diri

bertanya diri;
kenapa?
aku sendiri tidak tahu
mungkin kerna aku manusia mudah lupa
kau tipu kau tak pernah lupa
kerna kau terlalu mengingati maka kau masih mencari
bertanya lagi:
terlalu dunggu kah?
mungkin...